Usah lagi tertipu dengan skim pelaburan haram & skim cepat kaya di internet!
Ketahui! Kaedah membuat duit di internet yang sebenar!
Kepada rakan yang dikasihi..
Pada 12 April 2007 yang lalu, majlis fatwa kebangsaan telah sebulat suara memutuskan, bahawa pelaburan internet adalah haram di sisi agama islam.
Kenyataan ini telah serba sedikit menggembirakan saya, kerana sejak
dahulu lagi telah saya ketahui, skim-skim pelaburan yang dijalankan di
internet ini sebenarnya adalah merupakan skim ponzi alaf baru yang hanya
bertujuan untuk menipu masyarakat yang sememangnya terlalu mudah
percaya dengan angan-angan untuk menjadi kaya dengan cepat.
Pengharaman tersebut juga telah serba sedikit
menyedarkan beberapa pihak yang telah terjebak ke dalam perangkap skim
pelaburan tipu tersebut untuk cepat-cepat kembali ke jalan yang betul
dan mengeluarkan diri mereka dari terus hanyut dan menjadi barua kepada
komplot penipuan tersebut.
Ditambah pula dengan liputan-liputan serta
pendedahan yang dilakukan oleh pihak media, maka, semakin ramailah
masyarakat yang tersedar dan mula berhati-hati dengan peluang-peluang
membuat duit melalui inernet ini.
Namun begitu, sesuatu yang sedikit mengecewakan. Ramai masyarakat yang terkeliru dengan istilah PELABURAN INTERNET dengan PERNIAGAAN INTERNET.
Pada mereka, apa-apa sahaja perkara yang berkaitan dengan "Buat Duit di
Internet" adalah tipu dan tidak boleh dipercayai. Lebih menyedihkan
lagi, bukan masyarakat biasa sahaja yang terkeliru dengan 2 perkara ini,
malah pihak-pihak yang dianggap sebagai pihak yang handal ICT, seperti
Pusat Keselamatan Siber Malaysia juga turut terkeliru mengenainya.
Membuat duit atau menghasilkan pendapatan
melalui internet sebenarnya bukanlah sesuatu yang mustahil. Malah
terdapat ramai individu-individu di dunia amnya dan di Malaysia
khususnya, telah berjaya menghasilkan duit yang banyak menerusi
internet. Antara nama yang paling dikenali ramai adalah Dr. Irfan Khairi . Beliau, telah berjaya menjadi jutawan dengan hanya menjalankan perniagaan di internet.... diulangi.. PERNIAGAAN INTERNET.... atau
perlukah saya mengejakannya? P . E . R . N . I . A . G . A . A . N ...
bunyinya apa?... PERNIAGAAN ... (pandainyeeeee~~~ anak sapa ni~~?)
Untuk memberikan lebih kefahaman tentang "KAEDAH-KAEDAH SEBENAR BUAT DUIT DI INTERNET " ,
izinkan saya menjelaskannya kepada anda. Diharapkan anda dapat
melapangkan dada dan mengosongkan fikiran anda terlebih dahulu dari
segala tanggapan-tanggapan serta cerita-cerita yang pernah anda dengar
sebelum ini tentang "BUAT DUIT DI INTERNET".
Secara keseluruhannya, terdapat 3 kaedah / cara membuat duit di internet, iaitu :-
- Perniagaan Internet
- Program Internet
- Pelaburan Internet
1) Perniagaan Internet
Satu kaedah yang paling pasti untuk
membolehkan anda membuat duit di internet adalah dengan menjalankan
perniagaan anda di internet. Perniagaan internet tidak jauh berbeza
konsepnya dengan perniagaan konvesional. Anda masih memerlukan produk
untuk dijual dan memerlukan pelanggan untuk membeli. Apa yang berbeza
hanyalah proses transaksi urusniaga tersebut, dimana, transaksi tersebut
dijalankan secara online. Pihak pembeli dan penjual tidak bersemuka dan
berada beribu-ribu batu jauhnya.
Perniagaan internet pula boleh dibahagikan
kepada 2 bentuk. Iaitu , sama ada "perniagaan yang berasaskan" produk
ataupun "perniagaan yang berasaskan perkhidmatan".
Perniagaan Berasaskan Perkhidmatan
Antara contoh-contoh perniagaan internet yang berasakan perkhidmatan adalah seperti :-
- Perkhidmatan rekabentuk grafik (logo, banner, cover ebook)
- Perkhidmatan membina website
- Perkhidmatan memasang perisian.
- Perkhidmatan webhosting
- Perkhidmatan menulis & menterjemah artikel
Perniagaan Berasaskan Produk
Bagi perniagaan internet yang berasaskan
produk pula, ia boleh dibahagikan kepada 2 jenis produk. Iaitu, sama ada
produk fizikal ataupun produk digital.
Antara contoh perniagaan-perniagaan internet yang berasaskan produk adalah seperti:-
Produk Fizikal
- Menjual Tikar
- Menjual Alat Penjimatan Eletrik
- Menjual Buku
- Menjual Peta
- Menjual Model Kapal Terbang
- Menjual Menjual CD multimedia
- Menjual Cadar
Produk Digital
- Menjual Ebook
- Menjual Perisian-perisian
- Menjual MP3 ceramah-ceramah pembelajaran.
- Menjual Gambar-gambar/ grafik profesional
- Menjual video-video tutorial
- dan bermacam-macam lagi...
Perniagaan-perniagaan internet
seperti ini adalah benar dan jarang sekali ada yang menipu. Jika ada
yang menipu pun peratusannya agak kecil (Sama seperti perniagaan
konvensional, ada juga peniaga-peniaga yang melakukan penipuan di dalam
perniagaan mereka.). Peniaga internet menggunakan internet dengan
sepenuhnya untuk memasarkan produk-produk mereka. Jadi! adakah mustahil
untuk anda membuat duit di internet dengan melakukan perniagaan di
internet? Sudah pastinya tidak mustahil sama sekali. Anda BOLEH buat duit di internet dengan menjalankan PERNIAGAAN Internet!
Perniagaan di internet adalah sama seperti
perniagaan konvensional. Rukunnya sama.. ada penjual, ada pembeli dan
ada produk. Di dalam Perniagaan Internet.... tiada istilah labur duit,
goyang kaki dan kemudiannya jadi kaya.
Untuk membina sebuah perniagaan internet yang
berjaya bukanlah sesuatu yang terlalu mudah. Ia memerlukan usaha yang
gigih dan juga ilmu pengetahuan yang tinggi, terutamanya ilmu-ilmu yang
berkaitan dengan dunia perniagaan. Untuk membina sebuah perniagaan
internet yang berjaya, anda perlu mempunyai ilmu mengenai "Niche Market
Research", "Product Development", "Web Development", "Internet
Marketing", "Search Engine Optimization(SEO)", "Sales Letter Writing ",
"Web Credibility", "Traffic Generation" dan bermacam-macam lagi ilmu
yang perlu dipelajari dan diketahui..... Membangunkan perniagaan
internet, bukanlah semudah membangunkan website dan meletakkannya di
internet sahaja.. ia lebih dari itu. Jadi, sememangnya tiada istilah
"Duduk Diam Dapat Duit" di dalam dunia perniagaan internet.
Jika anda berminat untuk mendalami serta
berkongsi ilmu tentang cara-cara membina perniagaan di internet yang
betul, sertailah komuniti kami di www.wangcyber.com ,
banyak tips-tips serta ilmu yang membincangkan tentang cara-cara
membina perniagaan internet yang berjaya dikongsikan di website
tersebut.
2) Program Internet
Kaedah kedua untuk membuat duit di internet
adalah melalui program-program internet.Kaedah ini adalah lebih mudah
untuk dilakukan jika dibandingkan dengan kaedah yang pertama iaitu
"membina perniagaan internet".
Program internet ini pula. boleh dikategorikan kepada beberapa jenis, iaitu :-
- Program Pengiklanan
- Google Adsense
- Text-Links-Ads
- Bidvertiser
- Nuffnang
- Advertlets
- Program Affiliate
- Clickbank
- Commision Junction
- PayDotCom
- Amazon.com
- Internet MLM
- Get Paid To Program
- Get Paid to Read Email
- Get Paid to Surf
- Get Paid to Survey
- Randomizer
- Forced Matrix
Program Pengiklanan
Program pengiklanan seperti google adsense, bidvertiser, text-link-ads , nuffnang
dan yang lain-lain, adalah merupakan sebuah program pengiklanan yang
menghubungkan antara "pihak penerbit iklan" dengan "pihak pembeli
iklan". Jika anda ingin membuat duit di internet menerusi program
pengiklanan ini, anda perlulah menjadi pihak "Penerbit Iklan", atau
lebih dikenali sebagai "Publisher".
Sebagai seorang "publisher", anda dikehendaki
untuk menyediakan sedikit ruang di website anda, untuk diletakkan
iklan-iklan dari program-program pengiklanan yang anda sertai. Pihak
penganjur program pengiklanan seperti google, text-links-ads,
bidevrtiser dan sebagainya, akan membayar anda berdasarkan kaedah yang
ditetapkan, iaitu sama ada mengikut bilangan klik , bilangan paparan
atau pun mengikut kiraan hari berapa lama iklan tersebut di paparkan di
website anda.
Duit yang digunakan untuk membayar anda itu
pula, sebenarnya, bukanlah datang dari pihak penganjur, tetapi duit-duit
tersebut, sebenarnya datang dari pihak-pihak pembeli iklan (pihak-pihak
yang ingin mengiklankan website/produk mereka). Jadi, disini, jelas
dapat di lihat dari mana sumber datangnya duit tersebut dan kemana ia
disalurkan. (Dari poket pembeli iklan, ke penganjur program, dan
seterusnya ke poket anda, kerana sudi memaparkan iklan mereka).
Program Affiliate
Di dalam perniagaan konvensional, ada
sesetengah pemilik perniagaan yang melantik jurujual-jurujual serta
agen-agen untuk membantu mereka mempromosikan serta menjual produk
mereka kepada orang ramai. Agen-agen yang berjaya membuat jualan pula,
akan diberikan sedikit komisyen hasil daripada harga jualan produk
tersebut.
Di internet, jurujual-jurujual serta agen-agen ini, dipanggil "affiliate".
Manakala, program affiliate pula, ialah sebuah
program yang disediakan oleh pemilik-pemilik website perniagaan, bagi
melantik individu-individu seperti anda untuk menjadi agen mereka.
Proses pendaftaran sebagai agen kepada sesebuah program affiliate ini
biasanya adalah percuma. Anda tidak akan dikenakan sebarang bayaran
untuk mendaftar sebagai agen mereka.
Setelah mendaftar sebagai agen di dalam
sesebuah program affiliate, anda akan dibekalkan dengan satu URL yang
mempunyai ID anda. Tugas anda, hanyalah mempromosikan URL tersebut.
Apabila ada orang yang meng"klik" pada URL anda dan kemudiannya, membeli
produk yang dijual di website tersebut, anda akan diberikan komisyen.
Itulah penerangan ringkas mengenai program
affiliate, anda mendaftar sebagai agen di sesebuah website yang
menjalankan "perniagaan internet", dan kemudiannya, mempromosikan URL
affiliate ID anda. Jika ada pembeli, anda akan diberikan komisyen.
Satu ciri utama yang perlu anda tahu tentang program affiliate ialah,
program affiliate yang sah tidak mempunyai banyak tingkat (tier).
Maksimun tingkat (tier) yang dibenarkan untuk program affiliate hanyalah
2 tingkat (2nd tier) sahaja. Ini kerana, program affiliate
lebih mengutamakan kepada jualan produk dan komisyen yang diberikan juga
adalah berdasarkan hasil bilangan jualan produk, dan bukannya dari
bilangan "downline" yang diperolehi. Jadi, jika ada website yang
mendakwa mereka menjalankan program affiliate dan peringkat (tier)
affiliate mereka lebih dari 2, iaitu kadangkala sehingga mencecah 5-8
peringkat. Usah sertai! Itu adalah skim piramid yang cuba memperbodohkan
anda dengan istilah "Affiliate Program" .
Internet MLM
Kini, Industri MLM "Multi-Level-Marketing"
juga tidak ketinggalan untuk menggunakan internet sebagai sebuah medium
pemasaran. Banyak syarikat-syarikat MLM yang telah mempunyai website
mereka sendiri serta turut menyediakan kemudahan pejabat secara maya
untuk kegunaan ahli-ahli mereka.
Namun begitu, industri MLM pada masa kini
sudah agak parah, ini kerana banyak syarikat-syarikat MLM telah
dijangkiti oleh skim-skim piramid yang seringkali menggunakan "lesen
AJL" untuk sesebuah syarikat MLM sebagai topeng mereka.
Komisyen yang sepatutnya dibayar
berdasarkan "jualan produk" kini sudah ditukar dan dibayar berdasarkan
"bilangan agen baru" yang dapat ditaja. Jadi, tidak hairanlah
jika dilihat, mengapa penggiat-penggiat MLM masa kini, bermati-matian
mencari ahli baru untuk di jadikan downline mereka daripada memasarkan
& menjual produk-produk keluaran syarikat MLM itu sendiri.
Ayat-ayat jualan yang sepatutnya menerangkan tentang keistimewaan produk seperti "Produk ini berkualiti! berkhasiat dan dijamin halal" kini ditukar kepada "Jadilah
jutawan MLM tanpa perlu menjual produk, tanpa perlu membuat "maintain"
bulanan dan juga tanpa perlu datang mesyuarat setiap minggu!", "Hanya
perlu daftar jadi ahli dengan yuran RMXXX dan cari 2-3 orang rakan
sahaja! dan anda akan menjadi jutawan dalam masa beberapa bulan!"
Jadi, berhati-hati lah jika anda ingin
menyertai mana-mana syarikat MLM di zaman ini, mempunyai "Lesen AJL"
dari kementerian perdagangan sahaja belum mencukupi untuk membuktikan
mereka adalah sebuah syarikat MLM yang tulen. Ini kerana, banyak
syarikat-syarikat MLM yang mengemukakan pelan pemasaran yang berbeza
sewaktu mereka ingin memohon lesen dari kementerian. Selepas dapat
lesen, lain pula pelan pemasarannya. Sebab itulah, anda boleh lihat,
pelan pemasaran yang diterangkan di dalam ceramah-ceramah mereka amat
berbeza sekali dengan pelan pemasaran yang tercatat di dalam booklet
keahlian mereka.
Saya pernah menulis dengan panjang lebar
mengenai "Skim Piramid yang bertopengkan MLM" ini, untuk bacaan lebih
lanjut, anda boleh lihat disini http://www.wangcyber.com/forum/showpost.php?p=2657&postcount=2
Program "Get Paid To..." (GPT)
Ini satu lagi kaedah buat duit di internet,
tetapi terus terang saya katakan, program-program ini, kebanyakkannya
adalah tipu dan hanya akan membuang masa anda. Ada sesetengah programGPT
ini, yang menawarkan anda sehingga USD100 untuk anda membaca setiap
email yang dihantar. Usah mudah percaya dan kelabu mata, tanya dulu..
"Dari mana mereka dapat duit untuk membayar USD 100 kepada anda bagi
setiap email?". Dari pihak pengiklan? Maaf cakap, tapi dalam dunia
perniagaan, tiada peniaga yang sebodoh itu yang sanggup membayar USD100
kepada setiap orang yang membaca email iklan mereka.
Tujuan sebenar penganjur program-program "get
paid to.." ini sebenarnya hanyalah untuk mendapatkan alamat email anda
dan kemudiannya menjualkannya kepada pihak-pihak yang tidak
bertanggungjawap. Akibatnya, inbox email anda akan menerima banyak
email-email SPAM (email tidak diundang) yang mengandungi iklan-iklan
seperti viagra, pil ectasy, dadah, website lucah, software murah serta
seseorang yang mendakwa dirinya pentadbir harta kerajaan nigeria yang
baru sahaja kematian raja.
Jadi, usah membazirkan masa anda dengan
program-program seperti ini. Tiada orang yang menjadi kaya hasil
menyertai program-program seperti ini.
Program Randomizer
Ini pula satu program buat duit di internet
yang menggabungkan "skim cepat kaya" & "program perjudian". Untuk
membuat duit dari program ini, anda perlu "menderma" dan sekaligus
mendaftar sebagai ahli mereka, dan kemudiannya, anda dikehendaki mencari
rakan yang lain untuk turut "menderma" (menjadi mangsa) ke dalam
program ini.
Kepada siapa wang anda perlu di"derma"kan?
Pertama, kepada penganjur program tersebut, kedua.. kepada individu yang
menjemput anda untuk menyertai program ini.. dan ketiga... kepada
mana-mana ahli yang akan dipilih secara rawak oleh sistem. Ikut nasib...
kalau nama anda terpilih, maka dapatlah duit.. kalau tidak.. cari lagi
"mangsa" yang lain.
Program Forced Matrix
Ini pula skim piramid yang dijalankan di
internet secara terang-terangan. Tetapi ramai yang tertipu dengan
perkataan "forced matrix" yang digunakan, konon-kononnya, ianya adalah
sebuah program yang canggih, maklumlah namanya pun sudah canggih.
Hakikatnya, ianya adalah skim piramid. Di dalam program forced matrix
ni, mangsa dikehendaki membayar duit sebagai ahli dan kemudiannya
mencari 2-10 orang untuk dijadikan downline mereka. Mereka akan
menyusun 5 orang pada level 1 dibawah mereka, setelah lengkap level 1
dengan 5 orang mangsa, maka mangsa yang ke-6 akan diletakkan di level
ke-2 pula, pada level kedua ini, mereka perlu mencari seramai 25 orang
mangsa. Begitulah seterusnya, semakin banyak level, semakin banyaklah
mangsa yang diperlukan. Apa yang ahli-ahli program forced matrix ini
tidak sedar ialah, program ini sebenarnya akan menjadi tepu pada level
yang ke-13, itu pun jika seluruh penduduk dunia menyertainya. Tetapi,
selalunya, ia akan tepu pada level yang ke 6 & 7. Mengapa?
sebabnya.. tidak ramai orang-orang yang "bodoh" di internet yang mahu
menyertai program-program seperti ini. Yang peliknya, mereka yang kurang
bijak yang menyertai skim ini akan berkata "Tidak mengapa! Kita perlu
berusaha dengan lebih kuat lagi mempromosikan program ini, insyallah...
segala usaha kita akan berhasil!"... Usaha apanya? Program dah tepu...
nak usaha apa lagi?
Berikut adalah ilustrasi susunan ahli skim piramid yang digunakan oleh program "forced matrix 5"
Apabila program ini tepu pada level ke 6
(sebab tiada lagi orang "kurang pandai" yang dapat diperdayakan) ,
maka, 55,944 orang akan rugi (level 3-6) dan hanya 42 orang sahaja yang
akan untung (level 1 - 2). Jadi, nasihat saya, jauhkan diri anda dari
program-program seperti ini, ini kerana, anda tidak akan tahu di level
mana anda berada apabila anda menyertai program tersebut.
3) Pelaburan Internet
HYIP (High Yield Investment Program)
Ini pula adalah kaedah yang paling-paling
disukai dan digilai oleh ramai orang, terutamanya rakya Malaysia... .
Campak duit!... Goyang Kaki! Cukup bulan.. duit berkepul-kepul masuk ke
dalam akaun bank! Nak lagi banyak? Ajak kawan-kawan sekali, jemput semua
sekali orang kampung masuk melabur!
Peduli apa pihak penganjur buat dengan duit tersebut?
Peduli apa mereka itu ada lesen ke tidak?
Peduli apa halal ke haram?
Peduli apa mereka itu ada lesen ke tidak?
Peduli apa halal ke haram?
Yang penting..... cukup bulan.. CONFIRM dapat untung sekian-sekian peratus!
HYIP, Swisscash, E-Barrel, ABFund dan apa-apa
sahaja website yang menjanjikan anda keuntungan tetap, adalah beberapa
contoh website yang menawarkan skim PELABURAN INTERNET ini. Mereka tidak
mempunyai lesen, dan mengambil deposit daripada masyarakat secara
haram.
Inilah kaedah buat duit di internet yang di"HARAM"kan oleh majlis fatwa kebangsaan pada 12 April 2007 lepas. Suatu pelaburan yang dijalankan menerusi internet... atau nama sebenarnya, SKIM CEPAT KAYA ALAF BARU.
Duit yang dilaburkan sebenarnya hanya
dipusing-pusingkan. Duit-duit dari pelabur X, Y, Z akan diberikan kepada
pelabur-pelabur A, B, C yang merupakan orang-orang yang terawal melabur
di dalam pelaburan haram ini. Dan, apabila pelabur-pelabur A, B, C ini
mendapat wang keuntungan sepertimana yang dijanjikan oleh penganjur
pelaburan haram ini (yang sebenarnya sengaja diberikan untuk menguatkan
kepercayaan orang ramai). Maka, akan semakin riuhlah pelabur-pelabur A,
B, dan C ini mengkhabarkan yang mereka kononnya telah memperolehi
keuntungan yang berlipat ganda dari pelaburan mereka di dalam skim
pelaburan haram tersebut.
"Tengoklah berapa banyak duit aku dah dapat
hasil daripada pelaburan ini, mana ada tipu? Kalau tipu, takkan aku
boleh dapat duit banyak begini?" kata pelabur A
"Sertailah kami, usah dengar kata-kata
rakan-rakan anda itu, mereka itu semua melayu yang berfikiran rendah,
busuk hati & pendengki! Tidak boleh tengok orang senang sikit! "
kata pelabur B
"Haram konon.... boleh jalanlah dengan haram
kau! Kalau nak haram.. haramkan semuanya!" kata pelabur C yang cuba
menghalalkan perkara yang haram.
Saya tidak mahu bercerita panjang mengenai
pelaburan haram ini disini, saya sudah letih, jika anda ingin membaca
kupasan lebih lanjut mengenai pelaburan haram ini, anda boleh lawati
website-website berikut :-
Apa yang pasti, kini dalang-dalang skim-skim
pelaburan haram & cepat kaya ini sedang mencari-cari taktik yang
baru untuk meneruskan lagi kegiatan penipuan mereka. Dengar kata,
mereka kini sedang sibuk pula membuat website-website pelaburan yang
baru, untuk website yang terbaru ini, mereka tidak lagi memberikan
pulangan "tetap", tetapi pulangan diberikan, berdasarkan "prestasi" pelaburan pula!. Apabila ditanya, Dimana wang pelabur dilaburkan?.. Mana lesen pelaburan? Mana laporan pelaburan tahunan? "Oh! itu tidak boleh di dedahkan.. itu rahsia strategi pelaburan kami!" alasan ringkas yang mereka berikan untuk sekali lagi memperbodohkan masyarakat.
Nasihat saya kepada anda! Jika ada
peluang-peluang buat duit yang ditawarkan kepada anda, lebih-lebih lagi
jika mereka meminta wang dari anda (sama ada berbentuk yuran keahlian /
wang pelaburan) dan kemudiannya, meminta anda MENCARI ORANG lain untuk
membolehkan anda mendapatkan keuntungan yang besar dalam masa yang
singkat. Berhati-hatilah...ops! maaf! Bukan berhati-hati.. tetapi
larilah jauh-jauh sekuat-kuatnya.
Selidik terlebih dahulu dari mana asalnya wang
keuntungan yang anda perolehi itu? Oh! yer... apabila saya menyuruh
anda membuat "selidikan" , ia bukanlah bermaksud, membaca segala
maklumat yang terdapat di website mereka dan kemudiannya mempercayainya
100%.
Tetapi apa yang saya maksudkan dengan
perkataan "selidik" ialah , selidik terlebih dahulu modus operandi
mereka, dari mana sumber duit tersebut datang, dan ke mana duit tersebut
pergi. Apa yang menyebabkan mereka boleh memberikan anda keuntungan
yang tinggi dalam masa yang singkat?. Tetapi jika anda terlalu daif
untuk membuat selidikan, tanyalah dan rujuklah kepada rakan-rakan lain
yang lebih arif. Dimana hendak mencari rakan-rakan yang lebih arif
mengenai topik BUAT DUIT DI INTERNET? , wangcyber.com adalah salah satu tempat yang terbaik.
Pelaburan Forex
Satu lagi pelaburan yang menjadi kegilaan
orang ramai pada waktu ini, (terutamanya bekas-bekas mangsa Autosurf
& HYIP) ialah pelaburan forex menerusi internet. Untuk makluman
anda, pelaburan forex adalah merupakan satu pelaburan yang sangat
berisiko tinggi. Malahan, pihak kerajaan serta pihak Bank Negara
Malaysia tidak membenarkan mana-mana individu serta syarikat di malaysia
untuk menjalankan urusniaga forex ini. Hanya beberapa institusi
perbankan sahaja yang dibenarkan dan mempunyai lesen untuk menjalankan
urusniaga forex tersebut. Antaranya Bank Islam Malaysia Berhad, Bank
Muamalat Malaysia Berhad, Pos Malaysia Berhad dan juga Bank Simpanan
Nasional.
Oleh itu, apa yang dilakukan oleh
individu-individu yang mempunyai "keghairahan" yang tinggi terhadap
pelaburan forex ini , mereka mencari dan menggunakan website-website
broker dari luar negara untuk menjalankan urusniaga forex mereka.
Namun begitu, apa yang mereka tidak sedar, kebanyakkan website-website broker tersebut adalah scam dan tidak berlesen.
Jadi, kepada mereka yang "keghairahan" sudah
tidak boleh ditahan-tahan lagi daripada bermain forex, berhati-hatilah
apabila anda ingin memilih website-website broker untuk melabur di dalam
forex.
Pelaburan Saham di Bursa Malaysia menerusi Internet
Bank-bank di malaysia seperti Maybank, CIMB ,
RHB dan lain-lainnya telah melangkah setapak lagi di dalam
mengoptimunkan penggunaan internet di dalam perniagaan mereka. Ini
kerana, bank-bank tersebut, telah berjaya menyediakan kemudahan kepada
pelanggan-pelanggannya melakukan urusan jual beli saham di Bursa
Malaysia hanya melalui internet , menerusi laman web mereka.
Untuk menjalankan urusniaga (bermain) saham di
Bursa Malaysia menerusi internet ini, anda perlu membuka akaun
perdagangan (Trading & CDS Account) anda dimana-mana cawangan bank
Maybank / CIMB / RHB berdekatan anda.
Namun begitu, perlu difahami, pelaburan saham
di Bursa Malaysia mempunyai risiko yang agak tinggi juga. Jadi, pastikan
anda mempunyai ilmu yang secukupnya sebelum melaburkan wang anda di
pasaran saham tersebut.
Pelaburan saham ini tidak ada kaitannya dengan
"PELABURAN INTERNET" yang telah saya nyataan di atas, ia adalah
pelaburan saham yang biasa di Bursa Malaysia, cuma kini, semua urusniaga
jual beli saham tersebut, boleh dilakukan menerusi internet.
Jadi, pelaburan saham di bursa malaysia yang
dijalankan menerusi internet ini bolehlah dikatakan selamat & benar,
kerana anda melabur di Bursa Malaysia yang sememangnya sudah diiktiraf
urusniaganya oleh bank negara malaysia.
Kesimpulan
Kesimpulannya... BUAT DUIT DI INTERNET
bukanlah satu perkara yang ajaib dan penuh dengan tipu daya!. Ianya
tidak mustahil dan telah pun dilakukan dengan jayanya oleh ramai orang.
Malahan, di Malaysia, terdapat ramai individu yang telah berjaya menjana
pendapatan di internet. Alang , Shuth, Gobala, Zamri Nanyan, Kidino, Saifulsham, Smartzul, Galadriel, Mohd Sufian, Liew CF, Gaman, Tuah Emas, Labanon, Tazilan, Sham , Bitol , Patric Chan, Sunny Tan , Azhar
dan ramai lagi yang tidak mampu untuk saya senaraikan semuanya
disini... adalah antara rakyat malaysia yang telah berjaya membuat duit
di internet melalui PERNIAGAAN INTERNET mereka masing-masing
Jadi.. usah lagi terkeliru. antara PERNIAGAAN INTERNET & PELABURAN INTERNET. Ianya adalah 2 kaedah buat duit di internet yang amat jauh berbeza. Kami di WangCyber.com
amat-amat menggalakkan masyarakat di malaysia membina & menjalankan
PERNIAGAAN INTERNET mereka masing-masing, dan kami di wangcyber.com
juga, menolak dan menentang sekeras-kerasnya PELABURAN-PELABURAN HARAM
serta SKIM-SKIM CEPAT KAYA yang wujud di internet.
Dengan penjelasan ringkas saya ini,
diharapkan, tiada lagi kekeliruan daripada mana-mana pihak mengenai
istilah PERNIAGAAN & PELABURAN Internet serta salah anggapan
mengenai hakikat sebenar BUAT DUIT DI INTERNET.
Sekian, salam keusahawanan dari saya..
Wassalam.
Anda dibenarkan untuk menyalin dan menyebarkan artikel ini
kepada rakan-rakan anda dengan syarat, isi kandungannya tidak diubah dan
nama penulisnya tidak dibuang. Jika anda merasakan artikel ini mampu
memberikan manfaat, dan dapat membantu menyedarkan masyarakat tentang
hakikat sebenar peluang-peluang buat duit di internet. Silalah sebarkan
artikel ini kepada rakan-rakan anda dengan meletakkan salah satu banner
dibawah di website anda sebagai tanda sokongan anda terhadap usaha
ini. Kerjasama dan bantuan anda amatlah dihargai dan diucapkan ribuan
terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan